Ferrari 812 GTS, F8 Spider Buat Kemunculan di Malaysia
Naza Italia baru-baru ini mempertontonkan dua model Ferrari ‘convertible’ iaitu 812 GTS dan F8 Spider.
812 GTS (RM1,538,000 tidak termasuk cukai, insurans dan opsyen)
812 GTS merupakan versi ‘convertible’ kepada 812 Superfast yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos 2017.
Seperti F8 Spider, model ini mempunyai bumbung jenis RHT yang boleh dibuka dalam masa 14 saat pada kelajuan sehingga 45 km/j. Sebuah cermin penghadang angin belakang boleh dinaikkan untuk mengurangkan kemasukan angin ke dalam kabin.
Kuasa dibekalkan oleh enjin ‘naturally aspirated’ 6.5-liter V12 yang menghasilkan 789 hp pada 8,500 rpm dan 718 Nm pada 5,000 rpm, dengan 80% daripadanya tersedia dari 3,500 rpm.
Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang, 812 GTS berupaya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang tiga saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 340 km/j.
F8 Spider (RM1,178,000 tidak termasuk cukai, insurans dan opsyen)
Diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu, F8 Spider merupakan pengganti kepada 488 Spider dalam barisan V8 jenama itu.
Sebahagian besar reka bentuk badan F8 Spider adalah sama dengan versi Tributo, kecuali pada bahagian belakang di mana panel bumbung dan cermin penutup ruang enjin digantikan dengan dua ‘flying buttresses’.
Di bawah komponen tersebut adalah ruang penyimpanan bumbung jenis Retractable Hard Top (RHT) apabila ia dibuka. Menurut Ferrari, bumbung tersebut mengambil masa 14 saat untuk dibuka dan ini boleh dilakukan ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 45 km/j.
F8 Spider dikuasakan oleh enjin twin-turbo 3.9-liter V8 yang menjana 711 hp dan 770 Nm, dengan padanan transmisi klac berkembar F1 tujuh kelajuan. Sebagai model convertible, ia lebih berat sebanyak 70 kg jika dibandingkan dengan F8 Tributo.
Walaupun begitu, model ini mempunyai masa pecutan 0-100 km/j yang sama dengan versi coupe tersebut iaitu 2.9 saat. Cuma, masa pecutan 0-200 km/j adalah lebih perlahan sedikit iaitu 8.2 saat berbanding 7.8 saat yang dicatatkan oleh F8 Tributo. Bagaimanapun, kelajuan maksimum bagi kedua-dua model F8 ini adalah sama iaitu 340 km/j.
No Comment