Ferrari Buka Semula Kilang Selepas Lebih Sebulan Ditutup
Pandemik koronavirus telah menjejaskan keseluruhan sektor automotif, terutamanya pengeluar kenderaan. Mereka perlu berhadapan dengan gangguan bekalan, seterusnya jualan yang merudum, penutupan kilang serta cabaran untuk memulakan semula operasi dengan kos yang lebih tinggi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Pengeluar kereta sport mewah Ferrari turut tidak terkecuali dari bencana ini, dengan Itali menjadi antara negara yang paling teruk dilanda Covid-19. Wabak itu telah memaksa Ferrari menutup kedua-dua kilangnya di Modena dan Maranello sejak pertengahan Mac lalu.
Namun dengan keadaan yang dilihat semakin pulih, Ferrari mengesahkan bahawa ia akan memulakan semula operasi pengeluarannya pada 8 Mac ini, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan Itali.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Ferrari telah menerapkan program ‘Back on Track’ yang merangkumi pengenalan beberapa amalan baharu yang bertujuan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya.
Bukan itu sahaja, syarikat itu juga telah mengadakan sesi latihan bagi pekerja untuk menjelaskan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan baharu yang dilaksanakan.
No Comment