Hyundai Santa Fe Facelift Akan Guna Platform Baharu
Hyundai Santa Fe generasi keempat (TM) telah berada di pasaran sejak dua tahun lalu dan kini tiba masanya ia menerima kemaskini.
Melihat kepada imej teaser yang disiarkan oleh Hyundai, Santa Fe versi facelift bakal menampilkan ‘wajah’ yang lebih garang dengan jeriji yang lebih lebar serta lampu nyalaan siang yang menegak.
Bukan itu sahaja, SUV itu juga dilihat mempunyai rekaan bampar yang lebih sporty dengan bukaan udara besar yang dibahagikan kepada tiga bahagian.
Apa yang menarik, Santa Fe facelift bukan sahaja akan hadir dengan rekaan yang lebih segar, malah akan menjadi model Hyundai pertama di Eropah yang menggunakan platform generasi ketiga yang baharu.
Menurut Hyundai, platform tersebut mampu memberikan peningkatan dari segi prestasi, pengendalian dan keselamatan yang ketara. Ia juga membolehkan Santa Fe menggunakan pacuan hibrid dan hibrid plug-in buat pertama kalinya sejak model itu diperkenalkan sejak 20 tahun lalu.
Santa Fe facelift akan diperkenalkan secara rasmi di Eropah bermula September tahun ini. Perincian selanjutnya akan didedahkan dalam beberapa minggu akan datang.
No Comment