Lexus Mungkin Hasilkan BX Yang Berasaskan Yaris Cross
Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Lexus akan menghasilkan sebuah crossover yang lebih kecil daripada UX.
Menurut laporan Autohome.com.cn, jenama mewah dari Jepun itu akan menggunakan Toyota Yaris Cross yang dilancarkan baru-baru ini sebagai asas kepada model baharu yang dikenali sebagai BX. Ia mungkin diperkenalkan seawal 2023.
Setakat ini tiada gambar yang menunjukkan bagaimana rupa BX namun crossover kompak mewah itu dijangka menampilkan elemen rekaan yang sama dengan UX seperti jeriji ‘spindle’ dan kemasan krom. Ia juga mungkin lebih rendah berbanding model itu.
BX kemungkinan besar akan menggunakan enjin yang sama dengan Yaris Cross iaitu enjin 1.5-liter yang dipadankan dengan motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 116 hp. Versi F-Sport dengan pacuan empat roda juga mungkin akan ditawarkan.
Khabar angin ini agak menarik memandangkan Lexus sebelum ini pernah mengesahkan bahawa mereka tidak akan menghasilkan model berharga kurang dari $30,000. Bagaimanapun kenyataan tersebut dibuat berdasarkan operasi jenama itu di pasaran Amerika Utara.
Sementara itu, Yaris Cross pula ditawarkan untuk pasaran Eropah dan Jepun setakat ini. Oleh kerana BX dibina berasaskan model ini, ia juga mungkin akan dijual di pasaran yang sama.
No Comment