Litar Antarabangsa Sepang Dibuka Semula
Pandemik COVID-19 telah menyebabkan aktiviti sukan permotoran di seluruh dunia tergendala. Namun dengan keadaan yang beransur pulih, ngauman enjin-enjin jentera lumba mulai kedengaran lagi.
Selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan perniagaan kembali beroperasi, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan bahawa ia telah dibuka semula setelah dua bulan ditutup bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.
Menurut SIC, litar tersebut mula dibuka sejak semalam (12 Mei) namun malangnya ia belum dibuka untuk kegunaan umum. Buat masa ini, akses akan dihadkan kepada pasukan lumba yang menjalankan sesi latihan peribadi, dengan tidak lebih 10 peserta dibenarkan bagi setiap sesi.
Bagi memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan, pelumba, pasukan lumba, rakan kongsi dan peminatnya yang berterusan, SIC menerapkan beberapa langkah keselamatan berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Ini termasuk pembasmian kuman di premis, penyediaan topeng dan cecair pencuci tangan, serta saringan suhu badan di setiap poin kemasukan. Mereka yang menunjukkan gejala demam atau batuk akan diminta untuk pulang.
Selain itu, pelawat juga perlu mendaftar butiran peribadi mereka di tempat yang dikhaskan sebelum dibenarkan masuk ke premis, dan mengekalkan penjarakan sosial dengan mengikut tanda-tanda yang telah diletakkan. Tempat letak kenderaan akan disediakan di kawasan khas. Pelawat perlu meletak kenderaan secara mengundur dan pastikan jarak sekurang-kurangnya dua meter dari kenderaan di sebelah.
Mereka yang ingin menggunakan litar boleh menghubungi pengurus akaun masing-masing atau Hotline SIC di talian +60387782222 untuk menempah sesi latihan. Waktu operasi SIC sepanjang bulan Ramadan adalah dari 9 pagi hingga 4 petang.
No Comment