Ini Dia Nissan GT-R50 Italdesign Versi Produksi
Selepas lebih setahun diumumkan, Nissan GT-R50 versi produksi akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Jentera yang direka dengan kerjasama Italdesign ini terhad kepada 50 unit sahaja dan dijual pada harga 990,000 Euro (RM4.7 juta) seunit.
Menggunakan GT-R NISMO 2018 sebagai asas, model edisi terhad ini dikuasakan oleh enjin 3.8-liter V6 turbo berkembar yang telah dipertingkatkan dengan dua unit pengecas turbo GT3, intercooler lebih besar, serta bahagian-bahagian yang diperkuatkan seperti aci engkol dan omboh.
Hasilnya, enjin tersebut kini menjana 720 PS dan 780 Nm, iaitu 110 PS dan 128 Nm lebih tinggi berbanding GT-R NISMO. Turut dipertingkatkan adalah transmisi klac berkembar enam kelajuan dan ‘differential’ bagi memastikan kedua-duanya dapat menampung jumlah kuasa yang lebih tinggi.
Selain itu, GT-R50 turut menampilkan sistem suspensi Bilstein DampTronic serta sistem brek Brembo dengan angkup enam piston di hadapan dan empat piston di belakang.
Dari segi penampilan, model versi produksi ini tidak jauh berbeza dengan versi konsep yang diperkenalkan pada 2018. Bahagian hadapan memperlihatkan lampu LED yang lebih halus dan hud dengan bonjol lebih besar, manakala bahagian belakang pula menampilkan lampu bulat berkembar dengan efek terapung.
Jika dibandingkan dengan model asal, jentera ini mempunyai garis bumbung lebih rendah sebanyak 54 mm bagi menghasilkan profil sisi yang lebih agresif.
Tidak seperti bahagian luaran, perubahan pada bahagian dalaman tidaklah begitu ketara. Kemasan gentian karbon pada bahagian konsol tengah, panel instrumen dan pintu, serta upholsteri kulit dan Alcantara pada tempat duduk melahirkan suasana yang sporty.
No Comment