Toyota Umum Pemenang Vios Challenge Musim Ketiga
Toyota dengan rasminya melabuhkan tirai bagi acara Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge Musim Ketiga dengan menobatkan tiga pemenang kejuaraan bagi perlumbaan tahun ini yang sempat berlangsung meriah sebelum terbantut akibat penularan wabak pandemik Covid-19.
Musim ketiga menyaksikan Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Super Sporting, sementara Hayden Haikal yang baru berusia 16 tahun pula menjadi juara kategori Sporting manakala personaliti TV dan pemuzik Shawn Lee muncul juara untuk kategori Promotional.
Hanya 75% daripada siri perlumbaan musim ini atau bersamaan tiga daripada empat perlumbaan berjaya dijalankan. Acara kemuncak yang sepatutnya berlangsung pada 17-19 April lalu di Litar Sepang terpaksa dibatalkan berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020, yang melarang penganjuran acara melibatkan perhimpunan umum sehingga akhir tahun ini.
“Ini tentulah bukan cara yang kami inginkan untuk menamatkan sebuah siri perlumbaan yang biasanya akan bertambah sengit dan mendebarkan pada perlumbaan terakhir kejuaraan,” ujar Ketua Pegawai Sukan Permotoran, Toyota Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.
Akio yang juga Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd berkata, keputusan akhir pemenang diambil selepas perbincangan teliti dengan mematuhi serta konsisten terhadap semua penetapan yang digariskan oleh peraturan teknikal kejuaraan, serta melalui perbincangan dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM). Keputusan yang dicapai juga sangat konsisten dengan cara terbaik yang diamalkan oleh penganjuran perlumbaan antarabangsa.
Bergerak ke hadapan, Akio menambah bahawa UMW Toyota Motor kini di dalam tahap awal merencana persiapan musim keempat yang lebih menarik bagi Toyota Gazoo Racing Festival dan juga Toyota Vios Challenge.
“Musim Keempat akan menjadi suatu pengalaman yang sama sekali berbeza, tidak hanya menawarkan format perlumbaan yang diperkemas kepada semua pelumba, pasukan dan pengedar yang turut serta, tetapi juga melibatkan struktur hadiah dan ganjaran yang lebih menarik,” beliau berkata.
Sebagai rangkuman musim ketiga, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge telah berkembang menjadi lebih kukuh untuk memenuhi tiga matlamat utama syarikat; untuk membawa sukan permotoran dan semangat perlumbaan Toyota kepada umum; untuk meningkatkan tahap sukan permotoran Malaysia dengan memperkenalkan konsep perlumbaan litar jalanan; dan berjaya mempamerkan prestasi, ketahanan dan kemampuan kenderaannya untuk sentiasa memberikan yang terbaik di dalam keadaan ekstrem.
No Comment