Audi Q5 Facelift Hadir Dengan Lampu Belakang OLED
Diperkenalkan buat kali pertama pada 2008, Q5 yang kini berada dalam generasi kedua merupakan antara SUV Audi yang paling laris terutamanya di Eropah. Kini, model itu telah diberikan facelift yang menyaksikannya tampil dengan rekaan yang lebih sporty serta beberapa kelengkapan terkini.
Dari segi luaran, Q5 kini mempunyai penampilan yang lebih seragam dengan model-model semasa Audi yang lain seperti Q8 dan A7. Rekaan bampar yang lebih besar secara tidak langsung menjadikan ia 19 mm lebih panjang berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, perubahan utama pada model facelift ini adalah penggunaan lampu OLED pada bahagian belakang. Ketika memesan Q5, pelanggan boleh memilih antara tiga signatur lampu, masing-masing dengan rekaannya yang tersendiri.
Untuk lampu hadapan pula, Q5 kekal dengan lampu LED sebagai kelengkapan standard dan lampu Matrix LED sebagai opsyen.
Di dalam, Q5 mendapat sistem Modular Infotainment Platform generasi ketiga (MIB 3) yang dikatakan tiga kali lebih pantas berbanding MIB 2. Sistem ini boleh diakses menerusi skrin sentuh MMI berukuran 10.1 inci pada konsol tengah.
Turut disertakan adalah Audi virtual cockpit plus yang merangkumi paparan digital 12.3 inci yang mempunyai tiga pilihan susun atur grafik. Paparan ini dikawal menerusi stereng multifungsi. Paparan ‘head up’ ditawarkan secara pilihan.
Untuk enjin, pasaran Eropah akan mendapat varian 40 TDI yang dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.0-liter empat silinder baharu yang menghasilkan 204 hp dan 400 Nm. Dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.6 saat dengan kelajuan maksimum 222 km/j.
Enjin ini dibantu oleh sistem mild-hybrid (MHEV) dengan sistem elektrik 12v yang disokong oleh starter/generator (BSG). Sistem ini membolehkan Q5 belayar (coasting) dengan enjinnya dimatikan serta dipandu dalam mod mula-henti pada kelajuan kurang 22 km/j.
Selain itu, versi berprestasi tinggi iaitu SQ5 kekal dengan enjin turbo 3.0-liter V6 yang menghasilkan 349 hp dan 500 Nm. Menurut Audi, dua varian empat silinder TDI, V6 TDI, dua varian TFSI serta dua varian TFSI e hibrid plug-in akan menyusul kelak.
No Comment