Harga Kereta Perodua Turun 3-6 Peratus Mulai Hari Ini
Bermula hari ini hingga 14 Jun 2020, harga kesemua model keluaran Perodua akan dikurangkan antara tiga hingga enam peratus melalui pemberian rebat tunai.
Harga baharu itu akan dikekalkan sepanjang tempoh pengurangan cukai iaitu dari 15 Jun hingga 31 Disember 2020 seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15hb Jun 2020, Perodua akan memberikan rebat tunai antara 3% hingga 6% bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Kami ingin membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan. Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui amaun rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuatkuasa 15 Jun,” tambah beliau.
Dalam ucapan Rancangan Pemulihan Ekonomi pada 5 Jun, Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk merangsang ekonomi di sebalik krisis COVID-19 yang sedang melanda negara.
Antara insentif untuk membantu industri automotif termasuk pengecualian cukai jualan 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) dan pengecualian 50% bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.
“Perodua menyokong penuh langkah kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi pembelian kenderaan CKD sehingga akhir tahun ini dalam usaha memulih dan menaikkan ekonomi domestik,” kata Dato’ Zainal.
Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.
“Rakyat Malaysia kini lebih berhati-hati dalam berbelanja berikutan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, namun kenderaan persendirian masih diperlukan pada masa yang sukar ini,” kata Dato’ Zainal.
“Pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD meyakinkan industri automotif – bukan sahaja pelanggan tetapi keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar. Seiring dengan kadar pinjaman yang rendah pada waktu ini, kami optimis langkah ini dapat mendorong penjualan kenderaan baharu,” tambah beliau.
Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41% pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini (YTD).
Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.
“Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami ingin menyatakan semula komitmen kami kepada kerajaan untuk membantu industri menempuhi fasa yang sukar ini,” kata Dato’ Zainal.
No Comment