100 Unit Honda Civic Type R Limited Edition Habis Dijual Dalam 4 Minit
Rasanya kita semua sedia maklum yang produk keluaran Honda memang menjadi rebutan ramai, apatah lagi jika ia dihasilkan dalam bilangan yang terhad. Fenomena ini boleh dikatakan berlaku di seluruh dunia, termasuk benua Amerika Utara.
Sebagai contoh, laporan mengatakan bahawa 100 unit Honda Civic Type R Limited Edition yang ditawarkan untuk pasaran Kanada habis dijual dalam masa hanya empat minit selepas tempahan untuknya dibuka secara dalam talian.
Apa yang lebih menarik, pembeli tidak mengetahui harga jualan model edisi terhad itu. Mereka hanya membayar deposit $1,000 untuk memastikan mereka dapat membuat tempahan. Hal ini membuktikan dua perkara: ‘demam’ Type R bukanlah satu mitos dan orang ramai sudah bersedia beralih ke pembelian kereta secara dalam talian.
Diperkenalkan pada Februari lalu, Civic Type R Limited Edition merupakan versi yang lebih agresif yang menampilkan warna Sunlight Yellow, rim aloi BBS berukuran 20 inci dan tayar Michelin Cup 2 yang dibangunkan untuk pemanduan litar.
Ia tidak mempunyai sistem infotainmen dan pendingin hawa, malah bahan penebat bunyi pada bumbung, panel belakang, bampar dan papan pemuka turut dikurangkan. Langkah ini berjaya mengurangkan berat jentera itu sebanyak 47 kg.
Kuasa bagaimanapun tidak berubah. Enjin VTEC Turbo 2.0-liter itu masih menghasilkan 320 PS pada 6,500 rpm dan 400 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.
Pada Mac lalu, pasaran UK mengalami benda yang hampir sama apabila 20 unit Civic Type R Limited Edition habis terjual walaupun tidak pernah dipertontonkan kepada umum.
No Comment