Perodua Jual 7,886 Unit Kenderaan Pada Bulan Mei Walau Berdepan Krisis COVID-19
Perodua mengumumkan bahawa ia mencatat jualan 7,886 kenderaan pada Mei 2020, membawa jumlah jualan setakat tahun ini (YTD) kepada 52,920 unit. Berdasarkan jumlah keseluruhan industri YTD yang dianggarkan 129,401 unit, Perodua menguasai 41% bahagian pasaran YTD.
“Situasi COVID-19 yang masih berlangsung ini telah memberi kesan yang ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan. Namun kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kami kembali beroperasi di seluruh negara, kami berjaya mendekati angka jualan Mac kami pra-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Jualan bagi bulan Mei terdiri daripada 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza. Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan dalam bulan Mac sebelum PKP berkuat kuasa pada 18hb Mac.
“Dalam era penjarakkan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang lebih penting. Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah. Pemandu e-hailing juga telah bermula menggunakan kenderaan mereka untuk menghantar barang di samping mengangkut penumpang.
“Kenderaan Perodua amatlah sesuai untuk tujuan-tujuan tersebut, kerana kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu,” kata Dato’ Zainal.
Sepanjang Jun, kempen Sambutan Bermakna Perodua menawarkan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih, sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.
No Comment