Jualan Proton Pada Bulan Mei Tunjuk Tanda Pemulihan
Proton telah mendedahkan prestasi jualannya bagi bulan Mei 2020, di mana syarikat itu menjual sebanyak 5,676 unit kereta, dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.3%.
Jika dibandingkan dengan bulan sama pada tahun lalu, angka jualan ini menunjukkan penurunan sebanyak 46.5% dari 10,611 unit, sekaligus memberi gambaran tentang keadaan pasaran yang mencabar akibat wabak COVID-19.
Walaupun terpaksa menyesuaikan diri dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), angka jualan Proton pada bulan lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 73.2% berbanding Mac 2020.
Bagaimanapun, jumlah jualan keseluruhan yang dicatatkan berkurangan sebanyak 23.3% untuk lima bulan pertama tahun ini dan bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) pula dianggar turut menyusut sebanyak 48.7% bagi tempoh sama.
Dari segi kedudukan pasaran dan pegangan pasaran pula, Proton mendakwa ia kekal sebagai jenama kedua terlaris di Malaysia dengan jumlah pegangan pasaran setakat ini pada 21.1%, iaitu masih selari dengan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.
Prestasi jualan Proton pada bulan Mei adalah disumbangkan oleh empat model yang mencatatkan jualan tertinggi dalam segmen pasaran masing-masing. X70 kekal sebagai SUV segmen C terlaris di negara, manakala Saga pula menjadi sedan segmen A paling popular pada bulan lalu.
Sementara itu, Persona merupakan model terlaris bagi sedan segmen B dan Exora kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.
No Comment