Lamborghini SCV12 – Model V12 Lambo Paling Berkuasa
Pada September tahun lalu, Lamborghini memperkenalkan Sian FKP 37 sebagai model V12 paling berkuasa ketika itu. Bagaimanapun, gelaran tersebut bakal dirampas oleh sebuah hypercar baharu yang dikenali sebagai SCV12.
Menurut Lamborghini, SCV12 dikuasakan oleh enjin V12 aspirasi natural yang menghamburkan lebih daripada 830 hp, iaitu 11 hp lebih tinggi berbanding Sian.
Biarpun tidak dilengkapi dengan pengecas turbo atau sistem hibrid, enjin tersebut mampu menjana kuasa yang tinggi dengan adanya bantuan daripada sistem aerodinamik yang terdiri daripada dua lubang ambilan udara pada bonet hadapan dan skup bumbung.
Pada kelajuan tertentu, komponen-komponen akan menghasilkan efek ‘supercharging’ dan ini akan menyalurkan lebih banyak udara ke manifold ambilan, sekaligus membolehkan enjin tersebut bekerja untuk menghasilkan kuasa yang tinggi.
Enjin V12 itu dipadankan dengan transmisi berjujukan enam kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda belakang. Spoiler gergasi pada bahagian belakang dikatakan dapat menjana downforce yang lebih tinggi berbanding kereta lumba GT3.
SCV12 menggunakan casis gentian karbon yang ringan dengan sistem suspensi belakang jenis ‘pushrod’ yang dipasang terus pada kotak gear. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan rim magnesium berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.
Perincian lain seperti harga dan jumlah unit yang akan dikeluarkan masih belum didedahkan. Apa yang pasti, SCV12 akan menjadi antara jentera paling eksklusif pernah dikeluarkan oleh Lamborghini. Mereka yang bertuah memiliki jentera ini akan mengikuti program pemanduan di beberapa litar terkenal di seluruh dunia di bawah bimbingan Emanuele Pirro iaitu pemenang lima kali 24 Hours of Le Mans.
No Comment