Lotus Sambut Ulang Tahun ke-20 Exige
Pada tahun 2000, Lotus membuka lembaran baru dalam sejarahnya dengan sebuah model yang dikenali sebagai Exige Series 1. Kini, bagi menyambut ulang tahunnya yang ke-20, Lotus memperkenalkan Exige 20th Anniversary yang hadir dengan pelbagai kelengkapan tambahan.
Berasaskan varian Exige Sport 410, model ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang diinspirasikan oleh Exige Series 1 iaitu Chrome Orange, Laser Blue dan Calypso Red.
Tetapi jika warna-warna tersebut tidak menepati selera, pelanggan boleh memilih warna Saffron Yellow, Motorsport Black, dan Arctic Silver.
Selain itu, model ini juga didatangkan dengan pod ambilan udara pada bahagian sisi, spoiler belakang dan pelindung batu berbentuk sirip jerung yang terletak di hadapan tayar belakang.
Untuk menunjukkan yang ia bukan sebarangan jentera, Lotus turut menyertakan logo ’20th Anniversary’ berwarna hitam dengan imej profil sisi Series 1 pada bahagian sisi dan bampar belakang.
Di dalam, logo yang sama juga terdapat pada tempat duduk dan plak pada papan pemuka. Ruang kabin dihiasi dengan upholsteri Alcantara yang ditawarkan dalam pelbagai warna, serta jahitan kontras pada tempat duduk seperti yang terdapat pada Series 1.
Sama seperti Exige Sport 410, kuasa dibekalkan oleh enjin 3.5-liter V6 supercharged yang menghamburkan 410 hp dan 420 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.
Beberapa ciri yang ditawarkan secara opsyen pada Exige kini didatangkan secara standard pada model ulang tahun ke-20 ini. Ini termasuklah radio digital DAB dengan Bluetooth, Cruise Control, rim aloi dan stereng Alcantara.
Pelanggan masih boleh memesan beberapa lagi kelengkapan lain seperti trim gentian karbon, bateri lithium-ion dan sistem ekzos titanium.
Di United Kingdom, Exige 20th Anniversary dijual pada harga £79,900 (RM424,360), mewakili peningkatan sebanyak £5,412 (RM28,740) berbanding Exige Sport 410.
No Comment