Maserati Levante Kini Dengan Waranti 7 Tahun Tanpa Had Perbatuan
Program jaminan memainkan peranan penting dalam pengalaman pemilikan kereta kerana ia dapat melindungi pembeli daripada masalah atau tidak dijangka yang mungkin timbul di kemudian hari.
Oleh hal yang demikian, Maserati South East Asia Pacific telah melancarkan program waranti lanjutan untuk pemilik Levante di rantau ini, termasuk di Malaysia.
Dikenali sebagai ‘Serenity’, program tersebut menjanjikan ketenangan fikiran buat pemilik dengan waranti selama tujuh tahun tanpa had perbatuan. Ia sah untuk pembelian yang dibuat pada bulan Jun 2020 sahaja.
Naza Italia-Maserati baru-baru ini melancarkan Maserati Levante Trofeo Launch Edition yang menampilkan enjin twin-turbo 3.8-liter V8 dengan 590 hp pada 6,250 rpm dan 730 Nm dari 2,500 hingga 5,000.
Dengan kotak gear automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Q4 Intelligent All-Wheel Drive dan Limited-Slip Differential, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 304 km/j.
Daripada 100 unit yang dihasilkan untuk pasaran global, hanya tiga unit berjaya dibawa masuk ke Malaysia. Ia dijual pada harga RM838,000 (harga sebelum duti tempatan dan cukai) dan termasuk spesifikasi penuh dan tawaran pilihan.
No Comment