Kini Anda Boleh Pandu Uji Kenderaan Ford di Rumah atau Pejabat
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia terus memantapkan khidmat kepada pelanggannya dengan menawarkan pandu uji Ford ke rumah atau pejabat.
Selepas ini, para pelanggan yang berhasrat memiliki kenderaan Ford tidak lagi perlu datang ke bilik pameran untuk memandu uji. SDAC akan menghantar kenderaan pandu uji ke rumah atau pejabat pelanggan, asalkan lokasinya terletak dalam lingkungan jarak 10 km dari wakil pengedar terdekat.
Untuk membuat tempahan sesi pandu uji, pelanggan boleh menghubungi wakil pengedar terdekat, mengisi borang permohonan pandu uji secara dalam talian di laman web SDAC-Ford atau menghantar pesanan kepada Jurujual Digital Ford di talian WhatsApp 019 204 1200.
Langkah-langkah berwaspada akan diamalkan oleh perunding jualan semasa penghantaran kenderaan, termasuk memakai topeng muka, mencatat suhu badan, mensanitasi kenderaan pandu uji dan duduk di kerusi belakang semasa pandu uji sebagai mematuhi peraturan penjarakan sosial.
“Pada waktu ini, kami faham bahawa para pelanggan mahukan khidmat tambahan yang memberi kemudahan. Untuk itu, kami menyediakan satu lagi pilihan dengan menghantar kenderaaan Ford yang ingin dipandu uji ke rumah atau pejabat pelanggan bagi membuktikan komitment kami dalam terus memantapkan sokongan dan khidmat kami kepada para pelanggan,” kata Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion.
No Comment