Porsche 911 Speedster Kini di Malaysia – RM2.7 Juta
Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan Porsche 911 Speedster, yang merupakan varian terakhir bagi model 911 generasi 991. Hanya 1,948 unit dibina bagi pasaran global dan di Malaysia, varian ini dijual pada harga bermula RM2.7 juta.
Secara asasnya, 911 Speedster dibina menggunakan 911 GT3 sebagai asas. Bagaimanapun, tidak seperti model itu, Speedster mempunyai penutup convertible ‘double bubble’ yang digunakan untuk menyimpan bumbung fabrik.
Menurut Porsche, penutup tersebut diperbuat daripada gentian karbon dan ia merupakan komponen paling kompleks yang pernah digunakan pada model jalanan Porsche.
Selain itu, model ini turut didatangkan dengan bonet gentian karbon (2 kg lebih ringan berbanding unit pada 911 GT3) dan cermin sisi Sport Design. Ia juga mempunyai beberapa komponen yang dipinjam daripada 911 GT3 seperti apron hadapan, apron belakang dan spoiler belakang. Lip spoiler hadapan adalah baharu.
Untuk penampilan yang lebih eksklusif, pelanggan boleh mendapatkan pakej Heritage Design yang memberikan warna GT Silver Metallic dan pelekat motorsport pada bahagian luaran, serta warna Black dan Cognac serta perincian berwarna emas untuk ruang kabin.
911 Speedster dikuasakan oleh enjin NA 4.0-liter enam silinder yang menghasilkan 510 hp dan 470 Nm pada 6,250 rpm. Enjin ‘boxer’ ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai ciri ‘auto blip’, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam empat saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 310 km/j.
Berbanding enjin pada 911 GT3, enjin ini dilengkapi dengan penapis partikel gasolin (GPF) yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 10 hp. Walaupun dilengkapi dengan dua unit GPF, sistem ekzos sport yang terdapat pada model ini adalah 10 kg lebih ringan.
Bagi aspek casis pula, model ini hadir dengan teknologi daripada 911 GT3. Ini termasuk Porsche Torque Vectoring (PTV) dan Porsche Stability Management (PSM) yang boleh mengurangkan ketinggian sebanyak 25 mm. Turut disertakan adalah sistem stereng gandar belakang (rear-axle steering), cagak enjin dinamik dan brek cakera komposit (PCCB).
No Comment