Porsche Kurangkan Harga Sehingga RM48,000
Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan pengurangan harga bagi barisan model Porsche yang dijual di pasaran Malaysia. Ini adalah sejajar dengan pengumuman PENJANA yang menyaksikan pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga 100% untuk model CKD dan 50% untuk model CBU.
Menurut syarikat itu, harga asas bagi model Porsche berkurang dari RM13,000 hingga RM48,000. Sebagai contoh, harga asas bagi Macan kini adalah RM439,351 (-RM15,649) manakala 911 Carrera 4S kini berharga RM1,172,391 (-RM47,609).
Sebagai tambahan, pelanggan yang membuat tempahan sebelum 30 Jun 2020 akan menerima lanjutan waranti selama satu tahun dan insuran percuma sehingga dua tahun, bergantung pada model Porsche.
Selain itu, SDAP turut melancarkan program pembiayaan Porsche 360 Financing+ yang dirangka khas untuk Porsche Macan. Program ini menawarkan pembiayaan sehingga 90 peratus, dengan tempoh dari 12 hingga 60 bulan.
Dengan ansuran bulanan serendah RM6,300 (untuk tempoh pinjaman lima tahun dengan pembiayaan maksimum 90 peratus), program ini dikatakan menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus berbanding pembiayaan konvensional.
Apa yang menarik, pelanggan mempunyai pilihan untuk memulangkan semula Macan dalam tempoh 12 bulan pertama atau menaik taraf kepada model baharu tanpa perlu risau tentang nilai baki (residual value).
No Comment