Pusingan Akhir Toyota Gazoo Racing Online Challenge Diadakan 12 Julai Ini
Setelah aktiviti perlumbaan terpaksa dihentikan sementara akibat penularan pandemik Covid-19, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menjadi jenama automotif pertama di Malaysia yang membawakan perlumbaan maya menerusi acara Toyota Gazoo Racing Online Challenge.
Berlangsung dari 23 April hingga 21 Mei 2020, acara tersebut telah menarik peserta berusia seawal enam tahun yang berentap dalam lima pusingan menerusi permainan popular Gran Turismo Sport di PS4 untuk merebut hadiah bernilai RM7,500.
Susulan daripada cabaran atas talian yang mendapat sambutan itu, fasa keduanya akan diadakan pada 12 Julai nanti dan bakal menyaksikan pelumba-pelumba terbaik dari fasa pertama bersaingan dalam perlumbaan akhir yang lebih sengit.
Pusingan akhir itu terdiri daripada empat pusingan kejuaraan mini yang
bakal menampilkan jentera-jentera lumba ikonik termasuk Toyota GT86 Gr. B Rally yang eksklusif untuk Gran Turismo.
Para peserta akan beraksi di dalam litar ternama dunia, termasuk Red Bull Ring dan Autodromo De Interlagos. Pusingan-pusingan yang ada juga akan menggunakan format kedudukan grid terbalik.
Sementara itu, satu lagi acara perlumbaan maya UMW Toyota iaitu Toyota GR Velocity Esports musim ketiga pula akan diadakan antara Ogos dan September tahun ini. Tarikh dan format akan diumumkan tidak lama lagi.
Selain itu, sebagai tambahan, Toyota Motor Asia Pasifik (TMAP) juga akan turut menganjurkan GR Supra GT Cup Asia 2020, sebuah acara perlumbaan maya serantau yang pertama seumpamanya pada Oktober 2020.
Acara berkenaan bakal menyaksikan pusingan kelayakan diadakan di Malaysia (melalui Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports), Thailand, Singapura, Filipina dan India dari Julai hingga September untuk memilih tiga pelumba terbaik yang akan mewakili negara masing-masing di peringkat serantau untuk perlumbaan kemuncak.
No Comment