Toyota RAV4 Boleh Mula Ditempah – Harga Dari RM204k
UMW Toyota Motor mengumumkan bahawa ia kini mula menerima tempahan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinobat sebagai pemenang Japan Car of the Year 2019 iaitu Toyota RAV4.
Kini dalam generasi yang kelima, RAV4 dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menjanjikan tahap prestasi dan pemanduan yang lebih baik.
Untuk pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dalam dua varian enjin Dynamic Force iaitu 2.0L dan 2.5L dengan harga masing-masing RM203,880 dan RM223,880 sebelum pengecualian cukai jualan.
Selepas mengambil kira pengecualian cukai jualan, UMW Toyota menjangkakan harga tersebut akan menurun kepada RM196,500 dan RM215,700.
Varian 2.5L menampilkan enjin 2.5-liter VVT-iE (A25A-FKS) yang menghasilkan 207 PS dan 243 Nm dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan.
Sementara itu, varian satu lagi dilengkapi dengan enjin 2.0-liter (M20A-FKS) dengan kuasa berjumlah 173 PS dan 207 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi jenis CVT dengan ciri Sequential Shiftmatic.
Antara kelengkapan yang disertakan adalah sistem pendingin hawa dua zon, pintu tailgate berkuasa dengan fungsi pengesan tendangan, skrin sentuh berukuran tujuh inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem telematiks kenderaan (VTS) yang mampu memberikan lokasi semasa kenderaan menerusi aplikasi mudah alih.
Dari segi keselamatan, RAV4 dilengkapi dengan Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan High Beam Assist (HBA).
Model ini boleh didapati dalam enam warna iaitu Dark Blue Mica, Red Mica, White Pearl, Silver Metallic, Grey Metallic dan Attitude Black.
No Comment