Toyota RAV4 PHV Dilancarkan di Jepun
Toyota telah melancarkan varian hibrid plug-in RAV4 PHV untuk pasaran Jepun.
Varian ini menampilkan Toyota Hybrid System II (THS II) yang menggabungkan enjin petrol 2.5-liter empat silinder A25A-FXS dan dua buah motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang.
Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 306 PS. Enjin tersebut menjana 177 PS dan 219 Nm, manakala motor elektrik hadapan menjana 182 PS dan 270 Nm. Motor elektrik belakang pula memberikan kuasa tambahan sebanyak 54 PS dan 121 Nm.
Menurut Toyota, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya enam saat dengan bantuan sistem pacuan semua roda E-Four. Bagi pemanduan elektrik pula, ia boleh mencapai 95 km dengan satu cas penuh. Jika dipandu secara berhemah, ia boleh bergerak sejauh 1,300 km dengan satu tangki penuh dan satu cas penuh bateri.
Seperti versi petrol, RAV4 PHV dibina di atas platform TNGA (GA-K) dengan kedudukan bateri lithium-ion di bawah lantai di bahagian tengah kerangka. Bateri tersebut disejukkan dengan bantuan sistem pendingin hawa bagi meningkatkan jangka hayatnya.
Untuk pengecasan, bateri tersebut mengambil masa selama 5 jam 30 minit menerusi pengecas pantas AC 200 V/16 A atau 27 jam menerusi plag standard.
Antara ciri menarik RAV4 PHV adalah ia boleh dijadikan sebagai sumber kuasa tambahan jika bekalan kuasa elektrik rumah terputus atau ketika melakukan aktiviti ‘outdoor’ seperti perkhemahan.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan ciri-ciri seperti Apple CarPlay, Android Auto serta sistem keselamatan Toyota Safety Sense.
No Comment