Aston Martin KL Lancarkan Satu-Satunya Vantage AMR Malaysia Edition
Apa yang anda sedang lihat ini adalah Aston Martin Vantage AMR Malaysia, sebuah model edisi terhad yang mengambil inspirasi dari Vantage AMR. Hanya satu unit ditawarkan dan ia kini sedang dipamerkan di bilik pameran Aston Martin Kuala Lumpur.
Seperti Vantage AMR, kemasan berwarna Lime Essence menghiasi jeriji dan diffuser, serta panel pintu dan konsol tengah. Bagaimanapun, apa yang tiada adalah pelekat jalur sporty manakala angkup brek pula dicat warna hitam pada model ini.
Menggerakkan Vantage AMR Malaysia adalah enjin Mercedes-AMG 4.0-liter biturbo V8 yang menghamburkan 510 PS pada 6,000 rpm dan 685 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang, jentera ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 314 km/j.
Sementara itu, Vantage AMR didatangkan dengan enjin yang sama namun kuasa kilas dikurangkan sebanyak 60 Nm kepada 625 Nm, berkemungkinan bagi memastikan ia mampu ditampung oleh transmisi manual tujuh kelajuan. Ini menjadikan ia sedikit lebih perlahan dengan 4.0 saat diperlukan untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Dari segi elektronik, model ini dilengkapi dengan Adaptive Damping System (ADS), Dynamic Stability Control (DSC), Positive Torque Control (PTC) dan Torque Vectoring by Braking.
Di dalam, terdapat skrin LCD berukuran 8.0 inci dengan ciri Bluetooth, USB dan penyambungan iPhone dan iPod. Jentera ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Sport, Sport Plus dan Track, manakala sistem ekzosnya dilengkapi dengan injap bypass aktif.
Untuk membawa pulang jentera yang cantik ini, anda perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM678,000 (tidak termasuk duti dan opsyen). Untuk maklumat lanjut, layari http://kualalumpur.astonmartindealers.com/home/models/vantage atau hubungi 03-2163 1196/email astonmartinkl.enquiries@wearnes.com untuk membuat janji temu.
No Comment