Ford Bronco Sport – SUV Kompak Yang Cukup Lasak
Ford menghidupkan semula nama Bronco dengan model generasi keenam yang dibangunkan untuk penggemar aktiviti lasak. Selain versi dua pintu dan empat pintu, barisan Bronco turut terdiri daripada model lebih kompak yang dikenali sebagai Bronco Sport.
Seperti saudaranya yang lebih besar, Bronco Sport menawarkan prestasi pemanduan off-road menerusi sistem pacuan empat roda 4X4. Kemampuannya telah terbukti menerusi sesi ujian menyeluruh yang dilakukan di gurun Johnson Valley di California, jadi persoalan samada ia mampu atau tidak mengendalikan laluan mencabar tidak timbul sama sekali.
Ford menawarkan lima trim untuk model ini iaitu Base, Big Bend, Outer Banks, Badlands dan First Edition. Base, Big Bend dan Outer Banks tampil dengan enjin EcoBoost 1.5-liter dengan 181 hp dan 257 Nm, manakala Badlands dan First Edition mendapat enjin EcoBoost 2.0-liter empat silinder yang menjana 245 hp dan 373 Nm.
Bronco Sport didatangkan dengan dengan mod pemanduan GOAT (Goes Over Any Type of Terrain) yang boleh diakses menerusi tombol bulat yang terletak di konsol tengah. Ia menawarkan mod standard Normal, Eco, Sport, Slippery dan Sand, serta dua mod tambahan iaitu Mud/Ruts dan Rock Crawl untuk trim Badlands dan First Edition.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan Trail Control dan kamera hadapan untuk memudahkan pemanduan off-road. Trail Control mengatifkan pemanduan separa automatik seperti Cruise Control pada kelajuan sehingga 32 km/j ke arah hadapan dan 6 km/j ketika mengundur.
Lain-lain kelengkapan yang disertakan termasuklah paparan infotainmen SYNC 3 berukuran lapan inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Terdapat juga teknologi bantuan pemandu Ford CoPilot 360 yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision Assist, Pedestrian Detection, Forward Collision Warning, Dynamic Brake Support, Blind Spot Information System dan pelbagai lagi.
Bronco Sport dijual pada harga bermula $28,155 (RM120,235).
No Comment