Hyundai Dedah Reka Bentuk Elantra N Line
Hyundai Elantra generasi ketujuh yang diperkenalkan pada Mac lalu mempunyai penampilan yang agak segak, namun dengan versi N Line ini, sedan segmen C itu pasti akan menarik lebih banyak perhatian.
Bermula dari bahagian hadapan, Elantra N Line dilihat mempunyai corak jeriji yang lebih agresif dan logo N Line, manakala bampar direka semula dengan lubang ambilan udara yang lebih besar dengan perhiasan berbentuk boomerang.
Sementara itu, bampar belakang kini dilengkapi dengan diffuser dan muncung ekzos berkembar. Spoiler halus di atas but menunjukkan bahawa ia bukan Elantra yang biasa.
Melengkapkan pakej N Line adalah kemasan hitam berkilat pada cermin sisi, skirt sisi dan keliling tingkap. Turut disertakan adalah rim berukuran 18 inci dan brek cakera yang lebih besar.
Hyundai masih belum mendedahkan perincian teknikal Elantra N Line, namun apa yang kami tahu varian asas didatangkan dalam dua versi iaitu petrol dan hibrid.
Versi petrol menampilkan enjin 2.0-liter MPI Atkinson Cycle yang menghasilkan 147 hp pada 6,200 rpm dan 179 Nm pada 4,500 rpm, manakala versi hibrid pula dikuasakan oleh enjin 1.6-liter GDI Atkinson Cycle dan sebuah motor elektrik berkapasiti 32 kW, sekaligus menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 139 hp dan 264 Nm.
No Comment