Skrin Sentuh Tanpa Kontak Jaguar Land Rover Boleh Kurangkan Penyebaran Virus
Jaguar Land Rover (JLR) mengumumkan bahawa mereka telah menghasilkan skrin sentuh tanpa kontak bagi mengurangkan penyebaran bakteria dan virus.
Dibangunkan dengan kerjasama para jurutera dari Universiti Cambridge, skrin sentuh tersebut juga dikatakan dapat membantu pemandu mengekalkan fokus mereka semasa memandu.
Teknologi yang digelar sebagai ‘sentuhan prediktif’ itu menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan sensor berasaskan frekuensi radio untuk meneka sasaran jari pengguna pada skrin sentuh tanpa perlu menyentuh butang.
Menurut JLR, ujian makmal dan jalan raya yang dijalankan menunjukkan bahawa teknologi ini boleh mengurangkan usaha dan interaksi pemandu dengan skrin sentuh sebanyak 50%, sekaligus mengurangkan risiko kemalangan.
Bukan itu sahaja, teknologi tersebut juga dikatakan mampu mengekang penyebaran bakteria dan virus berbahaya kerana pemandu tidak lagi perlu melakukan sentuhan untuk memilih item pada skrin. Ini sangat berguna memandangkan sesetengah virus seperti COVID-19 boleh disebarkan menerusi permukaan tertentu.
Teknologi sentuhan prediktif ini merupakan sebahagian daripada visi Destination Zero JLR untuk menjadikan kenderaan mereka lebih selamat dan persekitaran lebih bersih. Syarikat itu bagaimanapun tidak mendedahkan bila teknologi tersebut akan mula digunakan.
No Comment