Mazda3 Turbo Diperkenalkan di Mexico
Beberapa hari lalu, Mazda USA mengesahkan bahawa Mazda3 Turbo akan diperkenalkan secara rasmi pada 8 Julai depan. Bagaimanapun, model tersebut nampaknya telah didedahkan lebih awal oleh Mazda Mexico menerusi satu video yang dimuat naik ke YouTube.
Seperti yang dijangka, model yang dinanti-nantikan itu dikuasakan oleh enjin turbo 2.5-liter SkyActiv-G yang menghasilkan 227 hp dan 420 Nm, iaitu sama dengan CX-5 Turbo yang dilancarkan di Malaysia pada tahun lalu.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda (AWD). Nampaknya tiada versi manual bagi model ini.
Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, bumbung suria elektrik, rim 18 inci dan lampu LED automatik. Dari segi penampilan, model ini kelihatan sama sahaja dengan varian bukan turbo walaupun pada hakikatnya ia mempunyai enjin yang lebih berkuasa.
Di Mexico, Mazda3 Turbo ditawarkan dalam dua varian iaitu S Grand Touring yang berharga $489,900 peso (RM94,230) dan Signature yang berharga $529,900 peso (RM101,920).
No Comment