MINI Convertible Sidewalk Edition Tiba di Malaysia
MINI Malaysia telah melancarkan MINI Convertible Sidewalk Edition versi terbaharu sempena meraikan model asal yang diperkenalkan 13 tahun lalu.
Dihadkan kepada 20 unit sahaja, model edisi khas ini didatangkan dalam warna luaran Deep Laguna dengan jalur bonet bercorak geometri, serta roda aloi ringan 17 inci dengan penggayaan Scissor Spoke 2-tona. Lampu LED dan lampu kabus LED pada bahagian hadapan dan belakang disertakan secara standard.
Sebagai model convertible, ia dilengkapi dengan bumbung ‘soft top’ MINI Yours berwarna hitam yang dihiasi corak tenunan Sidewalk dalam warna Titanium Grey. Bumbung tersebut boleh dibuka menggunakan kuasa elektrik dalam masa 18 saat sahaja walaupun ketika kereta ini sedang bergerak pada kelajuan sehingga 30 km/j.
Ruang dalaman menampilkan upholsteri kulit MINI Yours Leather Lounge Sidewalk yang dipadankan dengan sulaman berkontras berwarna Petrol dan Energetic Yellow. Warna-warna tersebut juga boleh didapati pada trim pintu dan alas kaki. Turut disertakan adalah lencana Sidewalk pada roda stereng.
Antara kelengkapan yang disediakan adalah pencahayaan ambien dengan 12 pilihan warna, penyaman udara automatik, skrin MINI Visual Boost 8.8 inci dengan Apple CarPlay, sistem navigasi dan ciri kawalan suara, pengecas tanpa wayar, sistem audio Harman Kardon, ciri Comfort Access serta MINI Connected dengan teknologi sim 4G terintegrasi.
Didatangkan dalam varian Cooper S, MINI Convertible Sidewalk Edition dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 192 hp dan 280 Nm. Dengan transmisi automatik Steptronic tujuh kelajuan, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.1 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 230 km/j. Tahap penggunaan bahan api adalah 5.7 l/100 km.
Harga jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) model ini adalah RM285,899.47 sen selepas pengecualian cukai jualan.
No Comment