MINI GP3 F350 Dari Manhart – Kecil Kecil Cili Padi
Dengan 306 hp dan 450 Nm, MINI John Cooper Works GP boleh dianggap antara hot hatch terpantas di dunia. Namun bagi Manhart, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
Untuk itu, tuner dari Jerman itu telah memperkenalkan GP3 F350 yang ditawarkan dalam bilangan yang terhad. Ia menampilkan pakej naik taraf prestasi yang membolehkan enjin B48 2.0-liter empat silinder itu menghasilkan 350 hp dan 530 Nm.
Peningkatan ini dicapai menerusi pemetaan semula ECU dan penggunaan intercooler dari Airtec serta sistem ekzos Remus. Manhart turut menggantikan paip penapis zarah atau lebih dikenali sebagai ‘particulate filter’.
Manhart tidak mendedahkan prestasi jentera ini namun peningkatan kuasa yang signifikan ini sudah pasti membuatkan ia lebih pantas. Sebagai peringatan, JCW GP versi standard mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 265 km/j. Ia merupakan model MINI terpantas pernah dihasilkan.
Dari segi penampilan, Manhart menggunakan gerbang roda dan spoiler belakang yang lebih besar, manakala balutan hitam matte dan kemasan berwarna emas disediakan oleh JDCustoms dari Netherlands.
Turut disertakan adalah sistem suspensi dari AST Suspension yang mengurangkan ketinggian sebanyak 20 mm di hadapan dan 20 mm di belakang. Imej agresif hot hatch ini dilengkapkan oleh rim Manhart Concave One berukuran 19 inci.
Menurut syarikat itu, mereka akan memperkenalkan sebuah lagi JCW GP edisi terhad serta beberapa komponen naik taraf seperti sistem ambilan udara karbon, downpipe dan sistem ekzos.
No Comment