Kia Dedah Ruang Kokpit Carnival
Setelah mendedahkan luaran Carnival generasi keempat beberapa minggu yang lalu, kini Kia kembali dengan gambar pertama ruang kokpit MPV itu.
Jika dibandingkan dengan model terdahulu, Carnival baharu mempunyai papan pemuka yang jauh lebih moden dengan beberapa ciri baharu yang ‘dipinjam’ daripada beberapa jenama Eropah.
Sebagai contoh, Kia kini menggunakan dua paparan digital berukuran 12.3 inci yang digabungkan untuk membentuk skrin infotainmen dan kluster instrumen. Susun atur ini jelas diinspirasikan oleh Mercedes-Benz.
Kebanyakan fungsi untuk sistem infotainmen boleh diakses menerusi butang sensitif sentuhan di sekeliling skrin, manakala kawalan untuk sistem pendingin hawa pula disediakan pada panel yang terletak di bawah skrin tersebut.
Bercakap tentang pendingin hawa, Carnival kini mempunyai corong udara melintang yang diintegrasikan ke dalam papan pemuka seperti Audi A4. Sementara itu, tombol gear konvensional sebelum ini digantikan dengan tombol berbentuk bulat seperti yang sering digunakan oleh Land Rover.
Menurut Kia, Carnival akan ditawarkan dalam versi 7, 9 atau 11 tempat duduk. Versi 7 tempat duduk mempunyai kerusi kapten dengan ciri boleh laras pada barisan kedua bagi memberikan keselesaan yang setara dengan koc kelas perniagaan.
Selain itu, Kia turut menjanjikan ruang kabin yang lebih luas dengan ukuran badan yang lebih lebar (+10 mm) dan jarak roda yang lebih panjang (+30 mm). Overhang belakang juga lebih panjang (+30 mm) sekaligus menghasilkan ruang yang lebih luas untuk penumpang di barisan ketiga.
No Comment