Suzuki Across Adalah SUV Hibrid ‘Rebadge’ Dari Toyota RAV4
Suzuki memperkembangkan barisan model SUV mereka di Eropah dengan model hibrid plug-in yang dikenali sebagai Across. Jika anda fikir yang ia tampak serupa dengan Toyota RAV4, anda sebenarnya betul kerana ia sememangnya versi ‘rebadge’ model tersebut.
Across merupakan model pertama yang dilahirkan melalui kerjasama antara Toyota dan Suzuki yang diumumkan pada Mac tahun lalu.
Selain RAV4, kerjasama itu juga akan menyaksikan Toyota membekalkan Corolla Wagon kepada Suzuki, manakala sebagai balasan Suzuki akan menyerahkan Ciaz dan Ertiga untuk dijenamakan semula oleh Toyota untuk pasaran India.
Berbalik kepada Across, model itu masih mengekalkan bentuk keseluruhan RAV4 namun ia mempunyai rekaan lampu hadapan yang lebih nipis dan gril yang lebih luas. Bahagian sisi dan belakang tidak nampaknya tidak diubah, begitu juga dengan ruang kabin.
Seperti RAV4 Prime PHEV, Across dikuasakan oleh sistem hibrid plug-in yang menampilkan enjin petrol 2.5-liter yang menghasilkan 173 hp dan dua motor elektrik yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 180 hp dan 54 hp. Gabungan ini dijangka mempunyai keseluruhan sebanyak 302 hp.
Dengan bantuan bateri lithium-ion berkapasiti 18.1 kWh, SUV ini dikatakan mampu dipandu sejauh 75 km dengan kelajuan maksimum mencecah 180 km/j dalam mod elektrik.
Dari segi teknologi, model ini didatangkan dengan AWD Integrated Management (AIM) yang ditugaskan untuk mengawal pembahagian kuasa kepada roda. Trail Mode pula memastikan ia mempunyai cengkaman yang secukupnya ketika memandu di atas permukaan yang licin.
Antara sistem keselamatan dan bantuan pemandu canggih yang disertakan adalah Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Road Sign Assist (RSA), Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Crossing Traffic Alert (RCTA).
No Comment