Toyota Supra GRMN Bakal Hadir Dengan Enjin BMW M3/M4?
Apabila Toyota GR Supra diperkenalkan buat kali pertama pada tahun lalu, ia menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat namun tidak kurang juga yang berharap bahawa ia sepatutnya mempunyai kuasa yang lebih tinggi.
Nampaknya harapan ini mungkin menjadi kenyataan. Menurut laporan bestcarweb.jp yang mendakwa mempunyai sumber dalaman, Toyota bakal memperkenalkan Supra versi GRMN dengan 513 hp pada 2023.
Kuasa tersebut akan dibekalkan oleh enjin S58 3.0-liter enam silinder twin-turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Enjin tersebut adalah enjin yang sama akan digunakan oleh BMW M3 dan M4 generasi baharu yang kini masih dalam fasa pembangunan.
Jika laporan ini benar, Supra GRMN akan mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding M3/M4 versi Competition. Duo dari Jerman itu sebelum ini diura-urakan mempunyai 503 hp.
Menurut laman web itu lagi, pengeluaran Supra GRMN akan dihadkan kepada 200 unit sahaja dengan harga 12 juta yen (RM478,260) seunit. Ini berkemungkinan supaya ia tidak mengganggu penjualan M3 dan M4.
Bukan itu sahaja, Supra GRMN juga dikatakan akan menjadi penawaran terakhir model itu sebelum pengeluarannya ditamatkan sepenuhnya pada 2025. Samada benar atau tidak, sama-sama kita nantikan.
No Comment