VOTY 2020//Crossover Mewah Tahunan – Lexus UX
Dilancarkan pada Mac tahun ini, Lexus UX menghadapi tentangan yang sengit daripada pesaing-pesaing dari Jerman yang tidak asing lagi dalam segmen yang popular ini. Tetapi kemenangan tetap berpihak kepada crossover dari Jepun ini yang tampil dengan rekaan revolusioner dan pelbagai kelengkapan canggih.
Ya, reka bentuk adalah sesuatu yang subjektif tidak terlampau jika kami katakan yang UX adalah model yang paling cantik dalam segmennya. Jeriji ‘spindle’ itu mungkin tidak digemari oleh semua namun lampu belakangnya bukan sahaja kelihatan cantik, malah direka khusus supaya ia boleh berfungsi sebagai ‘spoiler’.
Selain dilengkapi dengan pelbagai perkasasan yang boleh menjadikan pengalaman pemanduan lebih baik, UX turut menampilkan keterperincian dan kekemasan seperti yang sentiasa ditekankan oleh jenama Lexus. Inilah kelebihan yang tidak ada pada model crossover mewah yang lain.
Ketiadaan enjin turbo amat dirasakan di sini, namun keupayaan enjin baharu ini tidak boleh diperlekehkan kerana bagi penulis kuasa yang dijana boleh dikira cukup untuk saiznya. Teknologi ‘mechanical gear transfer’ pada CVT banyak membantu crossover ini semasa melakukan pecutan.
Spesifikasi Lexus UX Luxury
Enjin: petrol empat silinder
Kapasiti: 1,987 cc
Kuasa: 169 hp @ 6,600 rpm
Tork: 205 Nm @ 4,800 rpm
Transmisi: Direct-Shift CVT 10 kelajuan
0-100 km/j: 9.2 saat
Kelajuan maksimum: 190 km/j
Harga: RM283,888
Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.
No Comment