VOTY 2020// Hot Hatch Tahunan – Mercedes-Benz A250
Walaupun tidak dibangunkan sebagai sebuah ‘hot hatchback’ sebenar, Mercedes-Benz A250 mempunyai semua eleman yang melayakkannya memenangi anugerah ini: reka bentuk yang hebat, enjin yang berkuasa dan pengendalian yang responsif.
Bercakap tentang enjin, 224 hp dan 350 Nm cukup untuk meletakkan model ini di sisi pesaing terdekatnya iaitu Golf GTI. Kotak gear klac berkembar yang dipadankan dengan enjin tersebut tidak mengecewakan dan ternyata mampu mengendalikan tugasnya dengan baik sekali. Walaupun mempunyai pacuan roda hadapan, hatchback ini menunjukkan bahawa ia mempunyai tahap cengkaman yang setara dengan model pacuan semua roda.
Disebalik semua itu, kami juga menggemari rekaan bahagian dalamannya yang bergaya yang dilihat jauh lebih premium dan mewah jika dibandingkan dengan mana-mana pesaing dalam segmennya. Jadi, kereta ini bukan sahaja sporty malah mempunyai kemewahan yang setanding dengan model-model limosin Mercedes-Benz seperti E-Class dan S-Class.
Tidak dilupakan kelengkapan hebat dan canggih yang disertakan. Ini termasuklah Widescreen Cockpit yang merangkumi paparan terbesar dalam kelasnya dan sistem infotainmen MBUX dengan ciri kawalan arahan suara yang seronok untuk digunakan. Bukan itu sahaja, sistem pencahayaan ambien yang menawarkan 64 pilihan warna menjadikan pemanduan pada waktu malam lebih meriah dan tidak membosankan.
Spesifikasi Mercedes-Benz A250 AMG Line
Enjin: turbo empat silinder, DOHC
Kapasiti: 1,991 cc
Kuasa: 224 hp @ 5,500 rpm
Tork: 350 Nm @ 1,800 rpm
Transmisi: DCT tujuh kelajuan
0-100 km/j: 6.2 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Harga: RM263,888
Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.
No Comment