VOTY 2020//Sedan Kompak Tahunan – Perodua Bezza
Untuk tahun 2020, sedan kompak kegemaran rakyat Malaysia diberikan penambahbaikan yang agak menyeluruh. Pertama, dari segi reka bentuk, Bezza kini mempunyai wajah yang lebih kacak manakala rekaan bampar turut diperkemaskan sekaligus memberikannya penampilan keseluruhan yang lebih segak.
Bukan itu sahaja, Perodua turut menambahbaik kelengkapan pada Bezza untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Antaranya adalah penambahan ciri-ciri keselamatan seperti Electronic Stability Control, Traction Control serta sistem bantuan pemanduan ASA 2.0. Bertindak atas maklum balas orang ramai, Perodua turut menambah kecondongan tempat duduk belakang sekaligus menjadikan ia lebih selesa untuk penumpang.
Bezza bukanlah sebuah kereta yang sempurna tetapi pada harga yang ditawarkan iaitu antara RM35,000 hingga RM50,000, ia dilihat sebagai pilihan yang terbaik terutamanya untuk mereka yang baru mula bekerja dan tidak memiliki bajet besar atau pun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Spesifikasi Perodua Bezza 1.3 Advance
Enjin: 16-injap, empat silinder DOHC
Kapasiti: 1,329 cc
Kuasa: 94 hp @ 6,000 rpm
Tork: 121 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 4 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM49,980
Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.
No Comment