VOTY 2020//Sedan Sport Tahunan – Volvo S60 T8
Jika anda mahukan sebuah sedan sport berkuasa tinggi dan segak, Volvo S60 T8 adalah jawapannya. Selain mempunyai jumlah kuasa tertinggi dalam kelasnya, sedan ini juga boleh dipandu dengan menggunakan kuasa elektrik sahaja sejauh kira-kira 49 km kerana ia menggunakan pacuan hibrid plug-in. Dalam erti kata lain, ia adalah sebuah sedan yang versatil.
Dari luaran, S60 mungkin tampak seperti sedan segak yang direka untuk pemandu yang matang namun hakikatnya ia sangat pantas. Manakan tidaknya, enjinnya bukan sahaja dilengkapi dengan pengecas turbo dan supercharger, malah dibantu oleh sistem hibrid. Pengendaliannya, walaupun bukan yang terbaik dalam kelasnya, masih memuaskan hati. Kedudukan bateri di tengah-tengah casis memberikannya keseimbangan yang diperlukan semasa mengambil selekoh.
Oleh kerana ia sebuah Volvo, senarai ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu yang ada pada S60 sangat mengagumkan dan ini secara tidak langsung menjadikan harganya sangat berbaloi. Antara ciri yang disertakan termasuklah City Safety, Pilot Assist dan Lane Keeping Aid.
Tidak dinafikan S60 ini mempunyai kekurangannya seperti beratnya yang melebihi dua tan namun adil jika dikatakan bahawa ia tidak menjejaskan prestasi dan pengalaman pemanduan secara keseluruhannya. Dari segi harga, ia sedikit lebih mahal berbanding pesaing terdekatnya namun harus diingat bahawa ia ditawarkan dalam versi import CBU dan mempunyai lebih banyak perkakasan.
Spesifikasi Volvo S60 T8
Enjin: turbo & supercharger, empat silinder DOHC
Kapasiti: 1,969 cc
Kuasa: 320 hp @ 5,000 rpm (87 hp elektrik)
Tork: 400 Nm @ 1,500 rpm (240 Nm elektrik)
Transmisi: automatik lapan kelajuan
0-100 km/j: 4.4 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Harga: RM295,888
Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.
No Comment