Berita Auto

VOTY 2020//SUV Mewah Tahunan – Volvo XC90 T8

Untuk tahun 2020, Volvo XC90 diberikan sedikit penambahbaikan yang melibatkan kelengkapan (bateri berkapasiti lebih besar) dan juga penampilan (jeriji cekung, serta rekaan rim dan tombol gear baharu). Apa yang menarik, ciri-ciri baharu ini diberikan tanpa sebarang kos tambahan dan ini boleh dilihat sebagai satu penjimatan dan kelebihan berbanding pesaing-pesaing terdekatnya.

Bateri yang lebih besar itu tidak memberikan sebarang kesan negatif terhadap aspek pemanduan XC90 malah memberikannya jarak pemanduan elektrik yang lebih jauh iaitu 50 km dengan satu cas penuh. Seperti sebelum ini, prestasi XC90 sukar ditandingi kerana ia hanya menggunakan 2.1 liter petrol bagi setiap 100 km dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.6 saat biarpun mempunyai berat melebihi dua tan.

Bukan itu sahaja, ia juga lebih selesa dan pada masa yang sama, sedia untuk dipandu secara agresif terutamanya di selekoh. Ia juga cukup praktikal dengan susun atur tempat duduk yang boleh dilaras dengan mudah mengikut keperluan.

Terima kasih kepada insentif pemasangan tempatan dan hibrid plug-in yang dinikmati oleh Volvo, XC90 boleh dijual pada harga yang ‘berpatutan’. Benar, RM400,000 bukanlah jumlah yang kecil namun ia dilihat lebih berbaloi jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya yang ditawarkan pada harga melebihi RM600,000.

Spesifikasi Volvo XC90 T8

Enjin: Turbo & Supercharge, empat silinder, petrol PHEV
Kapasiti: 1,969 cc
Kuasa: 320 hp @ 5,700 rpm (87 hp elektrik)
Tork: 400 Nm @ 2,200 rpm (240 Nm elektrik)
Transmisi: Automatik 8 kelajuan
0-100 km/j: 5.6 saat
Kelajuan maksimum: 230 km/j
Harga: RM409,888

Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.

Previous post

Anugerah VOTY LIVE Di FB DSF.my Pada 9 Julai 2020 11 pagi

Next post

VOTY 2020//Crossover Tahunan - Mazda CX-30

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *