Bentley Perkenal Sistem Ekzos Akrapovic Untuk Bentayga
Kereta mewah seperti Bentley mempunyai banyak keistimewaan dan salah satunya adalah setiap unit yang dikeluarkan mempunyai spesifikasi yang tersendiri dan tidak sama dengan unit yang lain.
Untuk meningkatkan kebolehan personalisasi yang ditawarkan oleh mereka, Bentley telah memperkenalkan empat koleksi aksesori khas untuk model Bentayga iaitu Exterior, Interior, Touring dan Protection.
Komponen utama rangkaian aksesori ini adalah sistem ekzos titanium yang dibangunkan bersama pengeluar ekzos terkenal iaitu Akrapovic. Ia mengandungi set paip penghubung, peredam dan dua set muncung ekzos bujur dengan logo Bentley dan Akrapovic.
Menurut Bentley, sistem ekzos ini diinspirasikan oleh ekzos yang digunakan oleh Pikes Peak Bentayga yang mencatat rekod SUV pada perlumbaan Pikes Peak dua tahun lalu.
Selain sistem ekzos tersebut, pelanggan yang memilih koleksi Exterior turut menerima ‘cowl’ cermin yang diperbuat daripada gentian karbon, kemasan hitam berkilat Blackline Specification dan pemijak sisi.
Koleksi Interior (dalaman) pula memberikan penambahan kusyen kulit, perehat kaki dengan karpet tebal serta set bagasi mewah. Turut ditawarkan adalah beg golf kalis air untuk peminat sukan itu.
Mereka yang mengutamakan praktikaliti boleh memilih koleksi Touring yang merangkumi ruang simpanan tambahan sebesar 320 liter yang dipasang di atas bumbung, rak yang boleh memuatkan sehingga tiga buah basikal atau enam set ski dan kotak simpanan berkapasiti 100 liter yang terletak di bawah lantai but.
Untuk ketenangan minda pula, pelanggan boleh mendapatkan aksesori Protection (perlindungan) yang mengandungi pelindung kereta untuk luaran dan dalaman (indoor dan outdoor), ‘mud flap’ yang diperbuat daripada TPE tahan lasak serta alas lantai tugas berat.
No Comment