BMW Sah Akan Hasilkan M3 Touring
Baru-baru ini, akaun Instagram BMW M telah memuatnaik sekeping gambar teaser BMW M3 Touring, sekaligus mengesahkan kehadiran model yang ditunggu-tunggu itu.
Apa yang menarik, ini merupakan kali pertama M3 versi wagon dihasilkan. Sebelum ini, model itu hanya ditawarkan dalam bentuk coupe dua pintu, sedan empat pintu dan juga convertible.
Menurut laporan, M3 Touring akan berkongsi platform dan enjin yang sama dengan M3 dan M4 serba baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Ini bermakna ia akan hadir dengan enjin S58 3.0-liter enam silinder. Sama ada ia akan ditawarkan dalam versi standard dan Competition masih belum diketahui.
Seperti yang anda mungkin tahu, M3 standard akan hadir dengan 480 PS, transmisi manual dan pacuan roda belakang. Sebagai versi lebih berkuasa, Competition pula mendapat 510 PS, kotak gear automatik dan pilihan sistem pacuan semua roda xDrive.
Reka bentuk M3 Touring dijangka tidak jauh berbeza dengan 3 Series Touring yang diperkenalkan pada tahun lalu. Tetapi sebagai sebuah model M, ia pastinya mendapat gerbang roda yang lebih lebar dan tayar yang lebih besar dan ekzos quad. Tidak dilupakan jeriji ‘kidney’ gergasi seperti yang terdapat pada 4 Series.
BMW berkata bahawa mereka akan mula melakukan ujian prototaip M3 Touring di Nurburgring dalam masa beberapa hari lagi. Bagaimanapun, model itu masih diperingkat awal fasa pembangunannya yang dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun.
No Comment