Kantoi Cuba Seludup Masuk McLaren 620R ke Filipina
Diperkenalkan pada penghujung tahun lalu, McLaren 620R merupakan antara model paling eksklusif pernah dihasilkan jenama itu dengan pengeluaran diterhadkan kepada 350 unit sahaja. Salah satu daripadanya cuba dibawa masuk ke Filipina namun dengan cara yang tidak sah.
Menurut Biro Kastam Filipina, supercar edisi terhad itu berjaya ditahan di pelabuhan Manila pada 3 Ogos 2020. Ia tiba di negara itu pada 16 Julai lalu dan diisytiharkan sebagai sebuah Porsche Cayman bagi tujuan mengelak daripada membayar cukai yang lebih tinggi.
Ini kerana pada harga Php 33 juta (RM2.8 juta), 620R sepatutnya dikenakan cukai sebanyak Php 16.7 juta (RM1.43 juta). Namun dengan mengisytiharkannya sebagai sebuah Cayman yang lebih murah, penerima iaitu Llorin Trading dituduh mengisytiharkan duti dan cukai berjumlah Php 1.5 juta (RM128,815) sahaja.
Nasib yang bakal dihadapi oleh 620R ini masih tidak dapat diketahui. Kami hanya dapat memikirkan dua kemungkinan iaitu dilelong atau dimusnahkan. Bagaimanapun kemungkinan untuk ia dilelong dilihat rendah memandangkan kerajaan Filipina sebelum ini pernah beberapa kali memusnahkan kenderaan-kenderaan mewah sebagai sebahagian daripada usaha untuk memerangi rasuah.
Sayang sekali jika ini berlaku kerana 620R bukanlah calang-calang kereta. Secara asasnya ia merupakan supercar jalan raya yang dibina dengan komponen aerodinamik dan casis daripada jentera lumba 570S GT4.
Dikuasakan oleh enjin twin-turbo 3.8-liter V8 yang menjana 620 PS dan 620 Nm, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 322 km/j.
No Comment