Ford GT Heritage Edition Rai Kemenangan Ken Miles
Ford telah memperkenalkan satu lagi model GT Heritage Edition, kali ini untuk memperingati kemenangan bersejarahnya dalam perlumbaan Daytona 24 Hour Continental pada 1966.
Diinspirasikan oleh jentera GT40 MK II yang dipandu oleh Ken Miles dan Lloyd Ruby, GT Heritage Edition ini menampilkan warna Frozen White dan aksen Race Red pada bampar hadapan, bumbung, pintu dan di bawah spoiler.
Selain itu, ia turut hadir dengan hud gentian karbon, rim aluminium tempaan berukuran 20 inci dengan kemasan Heritage Gold serta angkup Brembo berwarna merah. Tidak ketinggalan nombor 98 pada pintu kiri dan kanan serta di atas hud.
Di dalam, kemasan Alcantara hitam menghiasi segenap sudut termasuk panel instrumen, pelapik bumbung dan stereng, manakala ‘paddle shifter’ dan tempat duduk berwarna merah yang juga dibalut dengan material yang sama melahirkan suasana yang dramatik.
Pelanggan yang mahukan penampilan yang lebih berani boleh mendapatkan pakej Heritage Upgrade yang merangkumi rim gentian karbon berukuran 20 inci, angkup brek berwarna hitam dengan tulis ‘Brembo’ merah dan panel pintu gentian karbon.
Di samping GT Heritage Edition ini, Ford turut memperkenalkan pakej Studio Collection yang menawarkan pelbagai gabungan warna dan grafik kustom hasil kerjasama antara Ford Performance dan pengeluar Ford GT iaitu Multimatic.
Menurut Ford, pakej Studio Collection terhad kepada 40 unit sahaja. Namun tidak diketahui berapa unit GT Heritage Edition akan ditawarkan kepada pelanggan.
No Comment