Jaguar E-Pace Masuk Pasaran Malaysia – RM403k
Jaguar Land Rover Malaysia telah melancarkan Jaguar E-Pace untuk pasaran tempatan, kira-kira tiga tahun selepas model itu diperkenalkan di peringkat antarabangsa.
Boleh didapati dalam warna Yulong White dan Firenze Red berserta Black Exterior Pack, SUV kompak ini hadir dengan lampu hadapan automatik LED dengan Auto High Beam Assist, lampu belakang LED, cermin sisi elektrik, muncung ekzos berkembar, pengelap cermin automatik dan rim ‘Style 6014’ berukuran 20 inci.
Di dalam, terdapat upholsteri kulit dan ‘headliner’ Light Oyster Morzine, tempat duduk memori 14 cara untuk pemandu dan penumpang hadapan, sistem pendingin hawa dua zon, cermin pandang belakang ‘auto dimming’ dan pencahayaan ambien.
Sistem infotainmen terdiri daripada skrin Touch Pro berukuran 10 inci yang dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Apple CarPlay, Android Auto, navigasi, Pro Services dan Wifi Hotspot. Turut disertakan adalah sistem audio Meridian berkapasiti 380W.
Satu lagi ciri yang terdapat pada E-Pace adalah Smart Settings yang menggunakan algoritma kecerdasan buatan (AI) untuk mempelajari tabiat pemandu.
Sistem ini boleh mengenal pasti pemandu menerusi kehadiran kunci atau telefon pintar dan seterusnya akan melaraskan kedudukan tempat duduk, suhu pendingin hawa dan sistem audio secara automatik. Ia boleh menyimpan sehingga lapan profil pemandu.
Untuk pasaran Malaysia, E-Pace hadir dengan enjin turbo petrol Ingenium 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 200 PS dan 320 Nm. Dengan transmisi automatik dan sistem pacuan semua roda, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 216 km/j.
Ciri bantuan pemandu yang disertakan termasuk kamera undur, Cruise Control, Driver Condition Monitor, Lane Keep Assist, Park Assist, 360 Parking Aid dan Rear Traffic Monitor.
Turut disertakan adalah All Surface Progress Control (ASPC), JaguarDrive Control, Torque Vectoring by Braking (TVbB), Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control dan Electric Parking Brake (EPB).
E-Pace ditawarkan pada harga RM403,216.67 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) selepas pengecualian cukai jualan. Mereka yang berminat untuk memandu uji model ini boleh mendaftar di sini.
No Comment