Malaysia Dapat 10 Unit MINI John Cooper Works GP
Selain memperkenalkan model elektrik penuh pertama mereka, MINI Malaysia turut sempat melancarkan jentera produksinya yang paling laju iaitu John Cooper Works GP.
Ia merupakan model eksklusif yang dihasilkan dalam bilangan yang terhad. Daripada 3,000 unit yang ditawarkan untuk seluruh dunia, Malaysia akan menerima 10 unit sahaja.
Berasaskan model Cooper tiga pintu, JCW GP didatangkan dalam warna metalik Racing Grey, berserta bumbung dan cermin sisi berwarna metalik Melting Silver. Gril radiator berbentuk heksagon, lubang ambilan udara dan permukaan spoiler bumbung di bahagian dalam pula dihiasi dengan warna Chili Red.
Selain itu, ia turut menampilkan logo GP berwarna Rosso Red serta rim tempaan berukuran 18 inci dengan logo GP pada hab tengah. Menurut MINI, berat rim tersebut adalah kurang daripada 9 kg.
Di dalam, terdapat tempat duduk sport John Cooper Works yang dibalut kulit Dinamica, tali pinggang keledar berwarna merah serta stereng John Cooper Works dengan balutan kulit. Tempat duduk belakang digantikan dengan pendakap melintang berwarna Chili Red berfungsi sebagai pelindung untuk mencegah barang muatan daripada bergerak ke hadapan apabila pembrekan mengejut dibuat.
Memacu JCW GP adalah enjin TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang mampu menghasilkan 306 hp antara 5,000 dan 6,250 rpm dan 450 Nm dari 1,750 rpm.
Kuasa tersebut dicapai menerusi penggunaan pengecas turbo lebih besar dan sistem ekzos khusus. Ditambah dengan komponen-komponen yang dipertingkatkan seperti aci engkol, omboh dan sistem penyejukan, JCW GP mempunyai 75 hp lebih berbanding JCW biasa.
Dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan dan pacuan roda hadapan, jentera ini memerlukan hanya 5.2 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j sebelum ia mencapai kelajuan maksimum 265 km/j.
Harga jualannya JCW GP adalah RM377,470.90 selepas pengecualian cukai jualan. Dengan Balloon Financing daripada BMW Group Financial Services Malaysia, model ini boleh dimiliki dengan ansuran bulanan bermula RM4,184.
No Comment