Mitsubishi Catat Rekod Jualan Positif Bagi Januari-Julai 2020
Pandemik koronavirus yang melanda nampaknya tidak memberikan impak buruk terhadap permintaan untuk kenderaan Mitsubishi di Malaysia.
Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), syarikat itu berjaya menjual 4,008 unit kenderaan dari Januari hingga Julai 2020. Prestasi ini secara tidak langsung meningkatkan perkongsian pasaran MMM kepada 1.7% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada 1.4% dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Seperti yang dijangka, Triton kekal sebagai jaguh MMM dengan perkongsian pasaran sebanyak 22.2% dari Januari hingga Julai tahun ini, naik dari 16.9% bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Bukan itu sahaja, trak pikap itu turut menduduki tangga pertama dalam segmen trak pikap ‘double cab’ di tiga negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.
Rekod jualan yang memberangsangkan ini adalah berita baik untuk MMM yang kini sedang bersiap sedia untuk pelancaran Mitsubishi Xpander pada tahun ini.
Salah satu inisiatif yang diambil bagi menyambut kedatangan MPV tujuh tempat duduk itu adalah menaik taraf beberapa bilik pameran Mitsubishi dengan identiti visual terkini jenama itu.
No Comment