Perodua Myvi, Axia dan Bezza Ungguli Carta Jualan
Perodua mendaftarkan 23,203 kenderaan pada Julai 2020, mengatasi Jun sebagai bulan jualan tertinggi setakat tahun ini sebanyak 9.2%, dan meningkatkan jumlah jualannya setakat tahun ini (YTD) kepada 97,373 unit.
Pengeluar kenderaan tersebut menganggarkan penguasaan pasaran Julai dan YTD sebanyak 40% dan 42% masing-masing, diterajui Myvi, Axia dan Bezza, yang menduduki tiga tempat teratas dari segi jualan YTD di Malaysia dengan 29,313, 28,107 dan 25,416 unit dijual masing-masing.
“Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah membangkit kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” tambahnya.
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.
“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memaksimumkan kepuasan pelanggan. Kami komited untuk terus menawarkan nilai yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dari segi harga yang berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih yang terbaharu,” tambah Dato’ Zainal.
No Comment