Rekaan Ruang Dalaman Geely Preface Didedahkan
Sedan mewah Geely Auto yang seterusnya iaitu Geely Preface akan memasuki pasaran tidak lama lagi. Hanya dua minggu selepas menunjukkan reka bentuk luarannya, syarikat dari China itu kini mendedahkan pula rekaan dalaman model itu.
Menurut Geely, reka bentuk kokpit Preface diinspirasikan oleh industri penerbangan dan ini boleh dilihat dengan jelas menerusi tombol gear dan skrin navigasi yang besar.
Bercakap tentang skrin, Preface akan didatangkan dengan paparan tengah berukuran 12.3 inci yang dikuasakan oleh teknologi GKUI. Berdasarkan gambar yang diberikan, ia juga akan menampilkan kluster instrumen digital. Melengkapkan sistem infotainmen adalah sistem audio berprestasi tinggi daripada Bose.
Ciri-ciri lain termasuklah sistem udara yang mempunyai dua fungsi iaitu penapisan dan wangian udara, serta upholsteri kulit gred tinggi untuk tepat duduk. Material gred tinggi juga akan digunakan pada bahagian-bahagian lain di dalam kabin.
Preface akan menjadi model Geely kedua yang menggunakan Compact Modular Architecture (CMA) selepas Xing Yue. Maklumat mengenai rangkaian enjin akan didedahkan tidak lama lagi.
No Comment