Tan Chong Panggil Semula 4,001 Unit Nissan Serena S-Hybrid CBU
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Centre (TCEAS), mengumumkan kempen panggil semula untuk Nissan Serena S-Hybrid (C26) varian import sepenuhnya (CBU) untuk memprogramkan semula Unit Kawalan CVT.
Segala kos buruh dan alat ganti (jika ada) untuk kempen servis ini adalah percuma dan proses memprogramkan semula akan menggambil masa lebih kurang 45 minit.
Siasatan telah dilakukan oleh Nissan Motor Co. Ltd dan kira-kira 4,001 unit Serena S-Hybrid (C26) varian CBU tahun pembuatan September 2012 sehingga November 2013 telah dikenalpasti terjejas dalam kempen panggil semula ini.
Serena S-Hybrid (C26) varian pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD)
yang dilancarkan di Malaysia pada November 2014 dan Serena S-Hybrid (C27) CKD yang dilancarkan pada Mei 2018 serta model jualan yang lain tidak terjejas dalam kempen ini.
Pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat, SMS atau Whatsapp dari TCEAS. Pelanggan digalakkan supaya menghubungi cawangan TCEAS yang terdekat untuk membuat janji temu.
Memandangkan pemilikan kenderaan mungkin berubah dari masa ke semasa, pemilik baru model ini digalakkan untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian tol percuma 1800-88-3838 untuk menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam kempen panggil semula ini.
No Comment