Volkswagen Tiguan Allspace Tawar 7 Tempat Duduk
Selain Arteon R-Line, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut memperkenalkan model Tiguan Allspace baharu. Juga dipasang di Pekan, SUV tujuh tempat duduk ini boleh didapati dalam varian Highline 1.4 TSI dan R-Line 2.0 TSI.
Allspace secara asasnya adalah varian Tiguan dengan jarak roda (wheelbase) yang lebih panjang dengan konfigurasi tempat duduk yang pelbagai dan ruang but berkapsiti sehingga 1,775 liter jika tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.
Dijual pada harga RM165,000.75, Tiguan Allspace Highline dilengkapi dengan lampu LED penuh pada bahagian hadapan dan belakang, lampu kabus serta rim Kingston berukuran 18 inci.
Bahagian dalamannya menampilkan upholsteri kulit Vienna, pencahayaan ambien, tempat duduk pemandu boleh laras 12 cara, sistem pendingin ahawa Climatronic dengan kawalan susuh tiga zon, stereng multifungsi dengan balutan kulit serta ‘paddle shifters’.
Di bawah enjin, enjin TSI 1.4-liter empat silinder menghasilkan 150 PS dan 250 Nm. Dipadankan dengan transmisi DSG enam kelajuan, SUV ini mempunyai kecekapan bahan api 7.3 l/100 km.
Sementara itu, Tiguan Allspace R-Line pula didatangkan dengan lebih banyak kelengkapan dan ini boleh dilihat menerusi harganya iaitu RM209,575.79. Ia menampilkan gaya sporty menerusi bampar R-Line, lampu belakang 3D, muncung ekzos berkembar, spoiler belakang dan rim aloi Sebring berukuran 19 inci.
Di dalam, terdapat tempat duduk hadapan dengan pelarasan elektrik 12-cara yang dibalut kulit Vienna, logo R-Line pada tempat duduk, stereng, pedal sports aluminium tahan karat, plat pelindung aluminium pada bahagian hadapan dan belakang, kemasan Dark Grid serta pelapik bumbung berwarna hitam.
Selain Digital Cockpit, yang turut disertakan pada varian Highline, Tiguan Allspace R-Line didatangkan dengan sistem infotainmen Discover Pro dengan skrin 9.2 inci yang boleh digunakan dengan mudah dengan adanya Apple CarPlay, Android Auto, MirrorLink serta fungsi arahan suara dan pergerakan.
Menggerakkan SUV ini adalah enjin TSI 2.0-liter empat silinder dengan 220 PS dan 320 Nm, dan transmisi DSG tujuh kelajuan. Seperti Golf R, model ini juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda 4Motion. Turut disertakan adalah Dynamic Chassis Control (DCC).
No Comment