Xiaomi Tawar Go-Kart Edisi Lamborghini
Anda mungkin tahu bahawa Xiaomi bukan sahaja menghasilkan telefon pintar mampu milik, malah pelbagai lagi barangan elektrik seperti TV, penapis udara, penyedut hampagas, pengering rambut, dron dan juga go-kart.
Ya, syarikat gergasi dari China itu turut menawarkan go-kart yang dikenali sebagai Ninebot. Untuk sambutan ulang tahunnya yang ke-10, Xiaomi telah bekerjasama dengan Lamborghini bagi menghasilkan sebuah model edisi khas.
Walaupun rekaannya tidak seperti mana-mana jentera keluaran Lamborghini, go-kart ini didatangkan dalam warna kuning Giallo Orion yang cukup sinonim dengan model Huracan dan juga spoiler belakang yang bergaya.
Tiada enjin V10 atau V12 di sini. Sebaliknya, Ninebot GoKart Pro Lamborghini Edition dikuasakan oleh pek bateri berkapasiti 432 kWj. Menurut Xiaomi, ia mempunyai kelajuan maksimum 40 km/j dan satu cas penuh membolehkannya dipandu sejauh kira-kira 15 km.
Selain itu, bagi menjadikannya lebih menarik, go-kart ini juga didatangkan dengan lampu utama dengan LED berwarna Ice Lake Blue dan sistem audio yang boleh menghasilkan bunyi enjin Lamborghini. Tidak cukup dengan itu, tayar kustom turut disertakan bagi membolehkan ia melakukan aksi ‘drift’ dengan lebih mudah.
Ninebot GoKart Pro Lamborghini Edition ditawarkan pada harga $1,440 (RM6,030).
No Comment