BMW M3 dan M4 Cetus Kontroversi Dengan Gril ‘Kidney’ Gergasi
Tidak dinafikan lagi, BMW M3 dan M4 adalah antara kereta sport yang paling penting dalam sejarah pengeluar dari Jerman itu. Tanyalah mana-mana peminat BMW, rata-rata menggemari penampilannya yang bersahaja tetapi tetap menarik.
Bagaimanapun, untuk model generasi baharu ini, kedua-duanya menampilkan elemen reka bentuk yang mencetuskan kontroversi. Elemen yang dimaksudkan adalah gril ‘kidney’ gergasi yang bermula dari bawah garisan hud hinggalah ke bahagian bampar. Muncul buat kali pertama pada 4 Series (G22) pada Jun lalu, ia berfungsi untuk menyalurkan lebih banyak udara ke ruang enjin.
Gril tersebut ditemani oleh sepasang lampu LED serta lubang ambilan udara pada bahagian kiri dan kanan bampar. Kedua-dua M3 dan M4 mendapat bumbung gentian karbon secara standard serta rim berukuran 18 dan 19 inci, atau 19 dan 20 inci untuk versi Competition.
Selain itu, BMW turut menawarkan pakej M Carbon yang merangkumi pelbagai komponen gentian karbon dan pilihan trim Shadowline yang memberikan kemasan berwarna gelap pada cermin sisi, spoiler dan muncung ekzos.
Reka bentuk ruang dalaman M3 dan M4 tidak jauh berbeza dengan 3 Series dan 4 Series biasa, namun sebagai model M yang berprestasi tinggi, kedua-duanya mendapat butang M Mode yang membolehkan pemandu memilih tetapan Road, Sport atau Track.
Selain itu, terdapat juga butang M Mode pada stereng dan tempat duduk sport baharu yang dibalut kulit Merino. Pelanggan juga boleh mendapatkan kerusi bucket M Carbon yang lebih ringan. Satu lagi ciri baharu adalah ciri M Drive Professional yang memberikan akses kepada data prestasi jentera semasa beraksi di litar.
M3 dan M4 dikuasakan oleh enjin twin-turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 480 hp dan 550 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 4.2 saat. Sementara itu, versi Competition pula mendapat 510 hp dan 650 Nm dari enjin yang sama, sekaligus mengurangkan masa pecutan sebanyak 0.3 saat.
Apa yang menarik, model asas M3 dan M4 dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan manakala versi Competition pula hanya boleh didapati dengan kotak gear M Steptronic lapan kelajuan. Buat masa ini, hanya versi pacuan roda belakang ditawarkan. Sistem pacuan semua roda M xDrive boleh dipesan dengan versi Competition bermula pertengahan tahun hadapan.
Sistem suspensi pula terdiri daripada suspensi Adaptive M yang dipadankan dengan penyerap hentak elektronik dan stereng M Servotronic dengan nisbah boleh ubah. Selain itu, BMW turut melakukan modifikasi pada gandar hadapan dan belakang, selain menambah pendakap pada bahagian bawah badan. Sistem brek M Compound didatangkan secara standard, manakal brek karbon seramik adalah opsyen.
No Comment