Ferrari Portofino M Tampil Dengan Pelbagai Naik Taraf
Model Ferrari paling mampu milik iaitu Portofino telah dinaik taraf dengan varian baharu yang dikenali sebagai Portofino M. Huruf ‘M’ tersebut bukanlah bermakna jentera ini dibangunkan oleh BMW M, sebaliknya ia bermaksud ‘modificata’ iaitu ‘modifikasi’ dalam bahasa Itali.
Ini kerana Portofino M dilengkapi dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang menggantikan unit tujuh kelajuan sebelum ini. Menurut Ferrari, modul klac kotak gear tersebut 20% lebih kecil namun mampu menampung 35% lebih tork.
Bukan itu sahaja, enjin 3.9-liter twin-turbo V8-nya ditala semula bagi menghasilkan 612 hp, iaitu 20 hp lebih tinggi berbanding Portofino. Tork kekal pada 760 Nm.
Gabungan transmisi baharu dan enjin lebih berkuasa itu membolehkan jentera convertible ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.45 saat atau dari 0 hingga 200 km/j dalam 9.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.
Ferrari menggunakan penapis zarah petrol (GPF) pada sistem ekzos Portofino M bagi memastikan ia mematuhi piawaian emisi Euro-6D yang ketat. Bagaimanapun, bagi memastikan komponen tersebut tidak menjejaskan bunyi yang dihasilkan, sistem ekzos direka semula dan penyenyap sedia ada dibuang.
Selain itu, Ferrari turut menambah satu lagi mod pemanduan pada Manettino iaitu Race. Disokong oleh ciri Ferrari Dynamic Enhancer, mod tersebut dikatakan dapat “memaksimumkan keseronokan memandu”. Satu lagi penambahbaikan adalah pedal brek yang ditala semula supaya menjadi lebih responsif.
Walaupun penampilannya tidak begitu berbeza berbanding Portofino, model baharu ini kelihatan lebih agresif dengan bukaan udara yang lebih besar pada bampar hadapan dan diffuser yang direka semula. Di dalam, terdapat skrin sentuh berukuran 10.3 inci dan paparan TFT berkembar pada panel instrumen.
Sebagai sebuah jentera Grand Tourer, Portfino M boleh didapati dengan pelbagai kelengkapan tambahan untuk keselesaan penumpang seperti ciri pemanas tempat duduk dan sistem bantuan pemandu ADAS.
No Comment